Bandar Seri Begawan, 6 Jan - Lebih 500 orang menyertai Zumbathon Amal untuk Nancy yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara amal itu, Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Datin Paduka Haji Adina Haji Othman.
Turut menyertai acara itu, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu'min.
Zumbathon amal ini merupakan aktiviti amal untuk mengumpulkan dana bagi membantu Dayang Tea Ai Seng atau lebih dikenali dengan Nancy anjuran Jabatan Belia dan Sukan serta disokong oleh Susan's Fitness Studio.
Nancy merupakan seorang atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat serantau di mana pada Suka SEA pada tahun 1999, beliau meraih dua pingat gangsa.
Penglibatan beliau dalam sukan ini bermula pada tahun 1980an dan pernah berkhidmat di JBS sebagai jurulatih selama hampir 20 tahun. Dana tersebut nanti akan digunakan untuk membiayai keperluan dan kebajikan beliau.
Zumbathon amal yang berlangsung selama dua jam itu dipimpin oleh pelatih-pelatih Susan's Fitness Studio, yang mana aktiviti zumba ini merupakan salah satu aktiviti yang semakin popular di negara ini yang menjurus kepada cara hidup sihat, dan mudah diikuti.
Selain aktiviti Zumbathon Amal untuk Nancy ini, Jabatan Belia dan Sukan juga akan mengadakan beberapa aktiviti sukan lain seperti Futsal Jemputan yang dijangka akan diadakan pada 18 hingga 20 Januari bertempat di Stadium Tertutup.
Manakala larian amal sejauh 5.5 dan Basikalton amal sejauh 42 kilometer kilometer di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dijangka akan diadakan pada 26 Januari pada sebelah malam.
Sementara itu pertandingan bola jaring yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu wanita terbuka dan lelaki terbuka akan diadakan pada 1 hingga 3 Februari akan datang, yang mana bagi kategori wanita acar akan diadakan di Universiti Brunei Darussalam dan lelaki di Kompleks Sukan Tutong.
Orang ramai yang ingin mendapatkan borang penyertaan atau bertanya keterangan lanjut mengenai kesemua aktiviti ini boleh menghubungi Jabatan Belia dan Sukan di talian 2381903/4/5/6/7 sambungan 1616,1630 dan 1635.
Manakala bagi penduduk di Tutong boleh menghubungi talian 4260118, Belait 3334938, 3335582 dan Temburong di talian 5221718.
Dengan adanya program seumpama ini jabatan berharap supaya masyarakat Brunei sentiasa peka, mendukung dan melibatkan diri dengan menyertai apa juga program yang dikendalikan dalam membantu insan yang sangat memerlukan di samping mengamalkan cara hidup sihat sambil menghulurkan bantuan ikhlas.
--Courtesy of Media Permata.gif)


