Bandar Seri Begawan, 9 Nov - Internet kini sudah menjadi keperluan penting dalam kehidupan seharian untuk berkomunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan dan juga ekonomi baik dalam melakukan kerja-kerja pejabat dan juga perniagaan.
Walau bagaimanapun, penggunaan berleluasa ini juga terdedah kepada bahaya serangan siber yang dan peningkatan berterusan dalam trend serangan ini sangat membimbangkan.
Perkara itu disuarakan oleh Menteri Perhubungan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah semasa berucap melancarkan Minggu Kesedaran Siber Sekuriti di Times Square, Berakas hari ini.
Menurut Yang Berhormat Pehin, kadar penembusan akses Internet di negara ini telah mencapai 85 peratus terutamanya dalam internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pertambahan pengguna telefon bimbit pintar menakjubkan sebanyak 120 peratus tahun ini.
"Peningkatan akses jalur lebar pada telefon bimbit dan penembusannya dalam bidang perniagaan semakin giat terutamanya bagi perkhidmatan media sosial, e-mel, perkhidmatan e-kerajaan, membeli-belah, perbankan online dan pendidikan," jelasnya.
Beliau menambah kata, statistik direkodkan oleh ITPSS dari dua tahun kebelakangan menunjukkan peningkatan jumlah insiden kawalan siber di Brunei dengan lebih 2,000 sarangan siber. Daripada jumlah ini 62 peratus adalah serangan virus, 26 peratus spam, tujuh peratus kerosakan laman sesawang dan empat peratus scam. Walaupun jumlah ini sangat kecil, ia terus meningkat dan membimbangkan.
"Pada Januari tahun ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan peruntukan sejumlah $230 juta untuk Kementerian Perhubungan bagi pelaksanaan projek jalur lebar Fibre-to-the-home (FTTH) seluruh negara di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10.
Infrastruktur pembangunan ICT ini akan menyediakan peluang-peluang ekonomi yang luas buat Brunei dan kerajaan memainkan peranan untuk memastikan rakyat dan perniagaan-perniagaan mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan menjelang 2017," ujarnya. Katanya semasa inisiatif FTTH menyediakan akses mudah dan murah kepada internet, Baginda Sultan memberi amaran ke atas keburukan kesan penyalahan-gunaan internet dan bertitah menyeru pihak-pihak relevan meningkatkan keupayaan dan penjagaan mereka berhubung dengan hal kawalan, pencegahan dan penguatkuasaan.
Dengan itu, ia tanggungjawab kami memastikan semua pengguna sedar terhadap ancaman yang semakin bertambah agar mereka boleh bersedia melindungi diri mereka terhadap jenayah siber, tambahnya lagi. Di Brunei, terdapat sebilangan kes-kes di mana beberapa penduduk Brunei terperangkap dalam penipuan (scam) melalui laman rangkaian sosial seperti Facebook.
"Dengan itu kita hendaklah berjaga-jaga dan sedar dengan ancaman yang wujud dalam alam siber dan memahami akibat dalam setiap tindakan yang diambil semasa dalam talian," katanya. Beliau menjelaskan kita semua adalah sasaran jenayah siber tetapi kita boleh mengelak dari ia berlaku jika kita mengambil langkah berjaga-jaga. Antara langkah-langkah yang ringkas ialah seperti menukar kata laluan, mengemas kini perisian anti-virus, menerima sambungan wayarles yang selamat, menyimpan data-data penting dan tidak memberi respons kepada sebarang scam internet, boleh memberikan perubahan besar.
--Courtesy of Media Permata