Bandar Seri Begawan, 6 Nov - Negara Brunei Darussalam akan memiliki sebuah lagi stadium bertaraf antarabangsa selewat-lewatnya pada 2019 apabila "Jawatankuasa Pandu Bagi Pembinaan Sebuah Stadium Baru di Negara Brunei Darussalam" telah diperkenankan penubuhannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ia adalah sebagai mempersiapkan keupayaan Negara Brunei Darussalam sebagai tuan rumah kepada kejohanan-kejohanan sukan serantau dan antarabangsa, sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan.
Itu juga bertepatan dengan hasrat negara ini untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA 2019, sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi ketika berkenan merasmikan Konvensyen dan Ekspo Sukan Brunei 2012 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas,
pagi ini.
Menyentuh kecemerlangan sukan, Duli Yang Teramat Mulia bersabda bahawa semua pihak khususnya badan-badan sukan sama ada di sektor awam mahupun swasta, serta pihak yang berkepentingan lainnya perlu bekerjasama dan memainkan peranan secara serius bagi meningkatkan pencapaian sukan di negara ini.
"Secara amnya, pada hemat saya pencapaian sukan negara adalah masih pada tahap yang memerlukan strategi dan usaha yang bersepadu dari pelbagai agensi. Apatah lagi jika kita mahu sukan sebagai penjana sumber aktiviti ekonomi yang mapan.
"Sehubungan dengannya, Paduka Ayahanda telah memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Pandu Bagi Pembinaan Sebuah Stadium Baru di Negara Brunei Darussalam.
"Ke arah itu, saya mengambil maklum bahawa matlamat konvensyen ini adalah juga bagi merangka sebuah ekosistem sukan yang bersepadu serta berdaya maju bagi melahirkan atlet-atlet sukan yang berwibawa. Dengan demikian, para peserta dapat mempelajari serta mencontohi amalan-amalan terbaik dan mengkaji serta menganalisis pengalaman jaguh-jaguh serantau dan antarabangsa."
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda bahawa konvensyen itu diharapkan akan dapat memberikan gambaran terhadap fokus hala tuju bidang sukan kepada negara ini.
"Saya juga difahamkan selaras dengan penubuhan Komuniti ASEAN menjelang 2015, kerajaan-kerajaan ASEAN telah pada dasarnya sepakat bagi meraih kemanfaatannya dengan perancangan sebuah pelan untuk mengembang majukan 'Industri Sukan dalam ASEAN'."
Dalam kata lain, sabda Duli Yang Teramat Mulia, penubuhan Komuniti ASEAN akan membuka peluang-peluang komersil melalui bidang sukan yang menawarkan pasaran terbuka bagi laluan transaksi rentas sempadan yang lebih luas.
Itu termasuk dalam bentuk penajaan, penghijrahan atlet, pelesenan dan penjualan, nasihat guaman dalam pengukuhan hak-hak intelektual dan pelancongan sukan, dan perkara utama dalam inisiatif itu adalah potensi pulangan dari hak penyiaran di rangkaian televisyen kepada pendapatan badan dan pasukan sukan profesional.
Pada masa yang sama, beberapa bidang lainnya akan juga mendapat manfaat langsung melalui pertumbuhan perkhidmatan dokongan berkaitan sukan yang antara lainnya termasuk bidan perubatan sukan, pemasaran, kursus, pengurusan venue dan acara, serta pentadbiran sukan.
Perkembangan itu adalah juga selaras dengan pembangunan sumber manusia yang tidak terhad hanya kepada pengajian sukan, tetapi termasuk juga pembangunan keupayaan dalam pengurusan kewangan, pemasaran, perhubungan awam dan kewartawanan yang berkaitan sukan.
Pada masa yang sama potensi dan penglibatan kesukarelawanan dalam bidang sukan yang merentasi sempadan juga akan turut memperkukuhkan perpaduan di peringkat serantau.
"Saya percaya dengan perancangan sukan yang lebih bersistematik serta sokongan, kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, visi gaya hidup sihat melalui sukan, serta usaha-usaha bersepadu yang menjurus ke arah pembangunan industri sukan yang mapan akan dapat menyebarluaskan asas kepelbagaian ekonomi dan mendekatkan kita kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035."
Dalam sabdanya, Duli Yang Teramat Mulia turut menyatakan bahawa bidang sukan adalah salah satu penyumbang langsung kepada kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.
Jelasnya, kegiatan fizikal merupakan salah satu komponen penting ke arah hidup sihat dan dalam masa yang sama mencegah penyakit kronik tidak berjangkit seperti penyakit kanser, jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti.
"Justeru, Paduka Ayahanda juga sering kali menitahkan betapa pentingnya mengamalkan cara hidup sihat.
"Sempena Hari Keputeraan Paduka Ayahanda Ke-66 Tahun pada 15 Julai yang lalu, antara lain Paduka Ayahanda telah menitahkan: 'Untuk sihat, kita memerlukan disiplin gaya hidup sihat dan pemakanan sihat. Di antara gaya hidup sihat itu ialah rajin beriadah'.
"Semenjak beberapa tahun yang lalu, kerajaan Paduka Ayahanda telah pun menyediakan peruntukan yang bersesuaian untuk membina kemudahan-kemudahan riadah dan bersukan tambahan khususnya yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan."
Di samping itu, sabda Duli Yang Teramat Mulia, Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan telah juga menyediakan Garis Pandu Kebangsaan Kegiatan Fizikal bagi Negara Brunei Darussalam yang mengandungi saranan yang komprehensif tentang amalan kegiatan fizikal untuk pelbagai kategori peringkat umur termasuk dalam kategori mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik.
"Dalam hubungan ini, saya sukacita menyeru kepada semua penduduk negara ini supaya dapat memanfaatkan Garis Pandu Kebangsaan yang telah pun disediakan ini.
"Bagi memupuk cara hidup sihat dan kegemaran bersukan tersebut, saya berpendapat bahawa ianya bermula dari kefahaman tentang pentingnya bersukan dalam kehidupan di kalangan semua peringkat masyarakat umum. Kefahaman ini perlu dipertingkatkan secara inklusif.
"Itu termasuklah memperkenalkan aktiviti serta memupuk minat bersukan khususnya di kalangan anak-anak bermula dari bangku sekolah sebagai amalan gaya hidup yang sihat dan pembentukan disiplin di peringkat awal lagi," sabda Duli Yang Teramat Mulia.
"Pencapaiannya secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko obesiti di kalangan kanak-kanak dan belia yang merupakan aset paling produktif dan berharga bagi sesebuah negara.
"Justeru, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah membuat banyak pelaburan bagi menyediakan kemudahan dan prasarana sukan di sekolah-sekolah. Ini termasuklah menyediakan tenaga pengajar khusus dalam bidang sukan bagi membudayakan bersukan sebagai aktiviti kokurikulum yang berupaya untuk meningkatkan disiplin serta keyakinan diri para pelajar."
--Courtesy of Media Permata.gif)


