Thought of the Day:
"What is the "best" for you? What keeps you from giving those "best" things the time and energy you want to give them? Are too many "good" things getting in the way?"

Tuesday, May 21st

Last update07:41 PM (UTC +8:00)

You are here: Home Malay News Rawatan Strok Di Brunei Maju

Rawatan Strok Di Brunei Maju

  • PDF
12pic1

Bandar Seri Begawan, 11 Nov - Strok sejenis penyakit neurologi, terus menjadi salah satu penyebab kematian utama di dunia dan dari segi rawatan, Brunei telah berkembang maju serta positif dalam usaha untuk merawat penyakit berkenaan disebabkan oleh perkembangan pesat dalam bidang kerjasama tele-perubatan, tele-neuroradiologi dan tele-pengajaran.

Perkembangan terkini dalam bidang neurologi dinyatakan oleh Ketua Pusat Pemulihan dan Neurosains Strok, JPMC, Profesor Datin Seri Laila Jasa Dr Uta Meyding-Lamade ketika menyampaikan ucap tema di Persidangan Neurologi ke-2 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

Persidangan itu memberikan penerangan mengenai dengan kerjasama di antara JPMC dengan Jabatan Neurologi dan Neuroradiologi di Krankenhaus Nordwest, Frankfurt, Jerman termasuk menubuhkan pusat strok khusus di Brunei yang mengetengahkan sistem komunikasi teleperubatan yang digunakan untuk merawat pesakit-pesakit yang mengalami masalah strok teruk.

Menggunakan sistem itu bukan sahaja membolehkan para pakar perubatan untuk menggunakan kaedah telepersidangan untuk berhubung dengan doktor dan jururawat di kedua-dua pusat yang berjauhan itu tetapi membolehkan penilaian, interpretasi dan laporan mengenai MRI dan imej CT melalui talian data yang terkawal.

Sejak penubuhan pusat pemulihan dan neurosains strok di Brunei pada 2010, lebih dari 1,500 pesakit telah dirawat sebagai pesakit dalam dan luar di NSRC di mana sebilangan besar nyawa telah berjaya diselamatkan.

Penjagaan pesakit strok dan penyakit neurologi yang lain, yang berkualiti tinggi dan moden dilakukan di unit kawalan rapi, unit strok dan wad biasa dengan penekanan diberikan kepada pemulihan pelbagai tahap profesional.

Di samping itu, kewujudan unit strok khas juga telah membantu untuk memberikan rawatan yang lebih efektif kepada para pesakit strok di mana mereka berjaya mengurangkan kematian, kecacatan dan memberikan peluang kepada para pesakit untuk kembali kepada kehidupan mereka berdikari, yang amat penting bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga kepada keluarga berkenaan.

Kaedah rawatan strok moden seperti trombolisis bagi menangani masalah pembekuan darah di dalam otak juga membantu untuk mengelakkan tekanan berlaku khususnya apabila pembengkakan otak di mana rawatan itu banyak dilakukan secara kerjasama dengan pakar bedah neuro dan pakar di hospital-hospital di Brunei.

Pada masa yang sama, usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah strok dalam kalangan masyarakat terus dipergiatkan lagi dengan pelaksanaan kempen-kempen kesedaran awam. Sehubungan dengan itu juga, kempen-kempen baru juga sedang dirancang dan dipersiapkan untuk merubah sikap serta pandangan orang mengenai dengan strok.

Sejak April 2012, sebanyak tiga projek saintifik kerjasama bersama Krankenhaus Nordwest, JPMC, University of Heidelberg dan UBD telah dilaksanakan di mana hasil dapatan awal telah banyak menarik perhatian semasa persidangan antarabangsa dan juga ketika diterbitkan dalam jurnal saintifik.

Di samping itu juga, satu kajian epidemiologi sedang dilaksanakan dan menerusi kajian itu diharap dapat memberikan maklumat mengenai kejadian dan kekerapan berlakunya strok serta penyakit-penyakit neurologi yang lain dalam kalangan masyarakat Brunei.

Menerusi kajian itu, diharap dapat meningkatkan usaha untuk mengelakkan berlakunya strok dan memperoleh maklumat mengenai perbezaan dalam penyakit-penyakit neurologi di kalangan masyarakat Brunei berbanding dengan masyarakat di negara-negara barat.

Kajian awal yang dijalankan oleh doktor dari NSRC menunjukkan bahawa strok berlaku lebih awal di dalam masyarakat Brunei berbanding dengan negara barat disebabkan oleh kejadian faktor risiko yang lebih tinggi seperti hipertensi dan diabetes.

Sementara itu, satu lagi projek saintifik yang dilaksanakan menumpukan kepada jangkitan sistem saraf di Brunei dengan hasrat untuk menjana kajian makmal dalam jangkitan neuro yang dipercayai amat berguna dan cemerlang di Asia Tenggara.

Kajian juga sedang dijalankan untuk mengenal pasti diagnosis dan rawatan awal demensia di Brunei sebagai persediaan di mana demensia sering berlaku di kalangan orang yang meningkat umur iaitu warga emas.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus