Thought of the Day:
"In our effort to close the gap between clock and the compass in our lives, many of us turn to the field of 'time management.'"

Saturday, May 25th

Last update02:19 PM (UTC +8:00)

You are here: Home Malay News Rangka Kemakmuran Bersama

Rangka Kemakmuran Bersama

  • PDF
20pic2

Phnom Penh, 19 Nov - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-15; Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-15; Sidang Kemuncak Commemorative ASEAN Plus Three; Majlis Santap Tengahari bagi Para Pemimpin ASEAN Plus Three; Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-10; Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-15; Mesyuarat Pemimpin ASEAN-AS ke-4; dan berkenan mengadakan perjumpaan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun di Peace Palace, Phnom Penh.

Di sebelah pagi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan Pemimpin ASEAN yang lain dan Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda, telah menghadiri Sidang Kemuncak ke-15 ASEAN-Jepun yang diadakan di Bilik Champa, Peace Palace.

Semasa Sidang Kemuncak tersebut, Baginda telah bertitah bahawa Jepun telah menjadi rakan kongsi ASEAN yang dinamik dan berpanjangan; dan telah membantu dalam banyak bidang utama ke arah proses membangun masyarakat, khususnya mengenai pengurusan bencana dan bantuan kepada ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance (AHA Centre).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah bahawa terdapat perkara lain seperti kesalinghubungan (connectivity) yang boleh menyumbang dalam merapatkan jurang pembangunan di rantau ini dan berharap Jepun secara rasminya dapat menjadi rakan kongsi pembangunan BIMP-EAGA.

Baginda juga menghargai usaha Jepun dalam menumpukan hubungan sesama penduduk (people-to-people) melalui beberapa program belia seperti Projek Kizuna.

Baginda seterusnya menambah bahawa terdapat beberapa skop yang baik bagi mengukuhkan perkongsian melalui Peta Jalan Kerjasama Strategik Ekonomi 10 Tahun (10-Year Strategic Economic Cooperation Road Map) dan juga berharap ASEAN-Japan Comprehensive Economic Partnership (AJCEP) dipersetujui yang mana akan menjadi asas kepada Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) untuk memperluaskan lagi bidang kerjasama ekonomi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berharap agar kerjasama ASEAN-Jepun akan dapat memberikan tumpuan kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada penduduk di rantau ini dalam memastikan ekonomi yang berdaya tahan.

Baginda juga bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam memberikan penekanan yang banyak kepada keselamatan makanan dan tenaga. Dalam hal makanan, ASEAN mempunyai APTERR (ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve Agreement) dan Baginda juga percaya bahawa terdapat banyak ruang untuk belajar mengenai cara-cara meningkatkan produktiviti pertanian dan menjamin bekalan yang stabil serta mencari pelbagai sumber makanan yang lain seperti sumber marin yang berdaya tahan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menambah bahawa terdapat keperluan untuk berusaha bagi tenaga yang mapan di masa hadapan dan pada masa yang sama mengimbangi kepentingan ekonomi dan alam sekitar.

Sudah sampai masanya untuk meneroka pilihan-pilihan tenaga bersih dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di rantau ini yang boleh dipelajari dari kepakaran Jepun.

Sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang, Baginda mengakhiri titah melahirkan harapan supaya kerjasama yang lebih kukuh akan dapat dicapai di masa hadapan terutama sekali menjelangnya sambutan kerjasama ASEAN-Jepun ke-40 pada tahun hadapan dengan berlangsungnya Sidang Kemuncak Commemorative di Jepun tahun hadapan.

Sokongan Korea dihargai

Selepas sidang ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menyertai para Pemimpin ASEAN yang lain bersama Presiden Republik Korea, Lee Myung-bak ke Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-15.

Di sidang kemuncak ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bertitah menghargai sokongan berterusan Republik Korea dalam usaha membangun komuniti ASEAN dan pemusatan (centrality) ASEAN dalam pelbagai proses serantau. Penubuhan Misi Republik Korea ke ASEAN di Jakarta akan memudahkan dan mengeratkan kerjasama di antara Republik Korea dan ASEAN.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya merakamkan penghargaan kepada Republik Korea di atas kepelbagaian program alam sekitar dan juga kepada Tuan Yang Terutama Lee Myung-bak, yang telah menganjurkan Seminar Biodiversiti ASEAN-Korea di Negara Brunei Darussalam bulan lepas.

Baginda juga ingin melihat bidang kerjasama yang serupa dalam perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengucapkan tahniah diatas kejayaan Ekspo Antarabangsa Yeosu di Republik Korea dan berharap kegiatan seumpamanya dapat membantu meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat dan membina persefahaman.

Baginda seterusnya menambah bahawa hubungan sesama penduduk adalah salah satu bahagian yang paling penting dalam ASEAN dan Pusat ASEAN-Korea di Jakarta telah berjalan dengan lancar sejak penubuhannya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap bahawa pusat tersebut dapat meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam Perjanjian Perdagangan Bebas.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Korea atas sumbangan peribadi dan komitmennya kepada hubungan dialog kerana ini adalah mesyuarat terakhir Tuan Yang Terutama bersama ASEAN.

Perkukuh kerjasama semua bidang

Selepas sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama dengan para pemimpin ASEAN yang lain menghadiri Sidang Kemuncak Commemorative ASEAN Plus Three.

Di sidang kemuncak ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan atas pencapaian yang diperolehi sejak bertahun-tahun terutamanya dalam bidang kewangan dan keselamatan makanan.

Baginda menambah adalah penting untuk terus mengukuhkan semua bidang kerjasama seperti keamanan, keselamatan dan kestabilan mengambil kira perkara-perkara tersebut adalah asas utama bagi semua negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah bahawa penekanan harus ditumpukan kepada bidang kerjasama keselamatan politik dengan pengukuhan kepercayaan dan keyakinan melalui dialog dan perundingan.

Baginda juga ingin melihat pelancaran Rangka Kerja ASEAN mengenai ASEAN Framework on Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang akan melengkapkan lagi kerja-kerja dibawah rakan kongsi Plus One.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya bertitah bahawa satu lagi bidang penting untuk diterokai adalah pendidikan, di mana Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN telah bertemu secara rasmi pada tahun ini.

Baginda memberikan sokongan kepada Statement of Connectivity di mana interaksi dan pertukaran antara belia harus digalakkan bagi meningkatkan hubungan sesama penduduk.

Pada kesimpulannya, Kebawah Duli Yang Maha percaya bahawa laporan East Asia Vision Group Two akan berguna bagi kerjasama masa depan dan menyumbang kepada hubungan ekonomi yang dapat diguna pakai semasa memperbaharui Pelan Kerja nanti.

India rakan kongsi penting ASEAN

Selepas sesi itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain menghadiri Sidang Kemuncak ke-10 ASEAN-India dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh

Di sesi ini, Baginda menyatakan bahawa India terus menjadi rakan kongsi ASEAN yang penting yang akan disusuli dengan 20th ASEAN-India Commemorative Summit bulan hadapan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menambah bahawa sejak penubuhan hubungan ini, perdagangan dua hala telah melimpasi sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini.

Walau bagaimanapun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia percaya bahawa terdapat keperluan untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dalam bidang pelaburan dan perkhidmatan. Baginda berharap hasil dari perundingan ini nanti akan mendukung kewujudan ASEAN Framework on Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).

Baginda Sultan juga merakam penghargaan kepada Perdana Menteri India dan kerajaannya atas sokongannya terhadap Connectivity Master Plan. Lumba Rali dan Ekspedisi Sudarshini adalah salah satu kegiatan yang mengingatkan sejarah politik, perdagangan dan hubungan budaya di mana India terus memainkan peranan yang positif.

Baginda seterusnya bertitah bahawa adalah penting untuk mengukuhkan semua bidang di bawah Pelan Tindakan termasuk keselamatan bagi memastikan keamanan dan kemakmuran yang berterusan di rantau ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga melahirkan rasa gembira mengenai Eminent Persons Group yang telah tampil dengan beberapa cadangan untuk memajukan hubungan ke tahap yang lebih strategik.

Baginda kemudian merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri India atas jemputan ke New Delhi bagi Sidang Kemuncak Commemorative ke-20 bulan depan.

Teroka 3 bidang utama

Setelah selesainya sidang tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyertai para pemimpin ASEAN yang lain bersama Perdana Menteri Republik Rakyat China Wen Jiabao bagi Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-15.

Di sesi ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan tiga bidang utama untuk diterokai dan dimajukan.

Pertama, segala usaha perlu disokong dengan meningkatkan kekerapan program pertukaran di pelbagai peringkat untuk membina kepercayaan dan keyakinan. Kedua, penyelarasan yang lebih meluas diperlukan dalam menyelesaikan isu-isu sekuriti bukan tradisional dan pelaksanaan Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (D.O.C).

Ketiga, pengukuhan jalinan keselamatan politik dan bidang kerjasama di bidang sosio-budaya akan dapat menyumbang kepada kemakmuran ekonomi di rantau ini.

Baginda menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan ekonomi dengan penyertaan Hong Kong dalam Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China untuk menarik minat sektor swasta dan penglibatan mereka di rantau ini serta memanfaatkan Pusat ASEAN-China di Beijing.

Baginda juga menggalakkan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN untuk mengadakan jerayawara di China serta mengalu-alukan rakan sejawatan ke rantau ini. Pada akhirnya, Baginda juga menambah ASEAN dan China telah membina perkongsian yang kukuh sejak berdekad lalu dan Baginda ingin melihat pembangunan tersebut berterusan.

Perkukuh kerjasama ASEAN-AS

Selepas sesi ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan para pemimpin ASEAN yang lain bersama Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama, hadir ke Mesyuarat Pemimpin ASEAN-US ke-4.

Baginda mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama kerana telah memenangi penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Baginda gembira mengambil maklum bahawa hubungan dialog terus berkembang merentasi semua bidang kerjasama dan berharap perundingan berterusan akan diadakan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mencadangkan beberapa idea untuk mengukuhkan kerjasama seperti membina kapasiti dan kepakaran bersama Amerika Syarikat di dalam bidang pengurusan bencana, jenayah merentas sempadan dan membanteras pengganasan.

Di samping itu, terdapat keperluan untuk mengukuhkan TIFA (Trade and Investment Framework Arrangement) dan Baginda juga mengalu-alukan cadangan Amerika Syarikat untuk mengukuhkan bidang kerjasama ekonomi melalui Expanded Economic Engagement (E3) Initiatives.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan rasa gembira dengan English Language Enrichment Programme for ASEAN dan seterusnya menggalakkan para pemimpin ASEAN yang lain untuk menyertai dalam pembangunan projek ini.

Seterusnya, Baginda mengalu-alukan usaha Eminent Persons Group yang telah memberikan cadangan yang praktikal untuk melihat dengan lebih jauh ke arah pengukuhan bidang kerjasama dan mengakhiri Titah, Baginda merakamkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat di atas komitmen terhadap keamanan dan kemakmuran di rantau ini.

Hadir mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke sidang-sidang kemuncak dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan ialah Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; dan Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

Pada sebelah petang, Baginda Sultan berkenan mengadakan perjumpaan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda.

Semasa perjumpaan dua hala tersebut, para pemimpin telah bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa isu kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Turut hadir semasa perjumpaan tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar, dan Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Kemboja, Tuan Yang Terutama Shaikh Haji Fadilah bin Shaikh Haji Ahmad.

--Courtesy of Media Permata

blog comments powered by Disqus