Tutong, 24 Ogos - Daerah Tutong turut menikmati pembangunan yang selari dengan pembangunan di daerah-daerah lain di mana agensi-agensi kerajaan yang berkenaan turut menyediakan kemudahan dan merancang pembangunan bagi daerah ini di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-10 yang menumpukan pembangunan menyeluruh dalam keselamatan, keugamaan, pendidikan, kesihatan dan juga kesukanan.
Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu (gambar) dalam temu bual bersama Media Permata semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jabatan Daerah Tutong yang diadakan di kediaman rasmi Pegawai Daerah Tutong, hari ini.
"Pembangunan-pembangunan di Daerah Tutong bukan sahaja dikendalikan oleh Jabatan Daerah tetapi dikendalikan oleh pelbagai agensi dari kementerian-kementerian berkenaan dan memang secara keseluruhan perancangan utama adalah melalui Rancangan Kemajuan Negara, banyak program-program pembangunan telah diaturkan oleh pihak kerajaan melalui RKN 10 antaranya dari aspek infrastruktur, keselamatan, keugamaan, pendidikan, kesihatan, kesukanan dan pelbagai aspek lagi."
Mengulas lanjut mengenai dengan aspek-aspek pembangunan yang dinikmati oleh Daerah Tutong, Haji Muhammad Suffian berkata bahawa jalan raya di Daerah Tutong terus dipertingkatkan dengan mengambil kira bukan sahaja keperluan dan pembangunan di daerah berkenaan tetapi juga paling utama adalah keselamatan pengguna jalan yang menggunakan Lebuh raya Tutong.
Salah satu usaha untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di daerah berkenaan di masa akan datang adalah pembinaan jejantas dan juga membuat kawasan bagi pusingan U dengan lebih selamat.
"Dari segi keugamaan pula, jelas kelihatan pembinaan masjid-masjid yang baru bagi kegunaan masyarakat
Daerah Tutong ini dan dari segi kesukanan pula, pembinaan infrastruktur sukan yang baru dan pelaksanaan program-program sukan banyak membantu merangsang perkembangan sukan daerah. "
Menyentuh mengenai aspek pendidikan pula, Haji Muhammad Suffian berkata dengan adanya pembinaan sekolah-sekolah baru termasuk Pusat Tingkatan Enam Tutong dan penyediaan kelengkapan-kelengkapan sekolah yang baru sudah setentunya membantu meningkatkan mutu pendidikan di daerah berkenaan.
Sementara itu dari segi Jabatan Daerah Tutong pula, Haji Muhammad Suffian mengakui memang terdapat perancangan bagi menjana pembangunan daerah di mana walaupun pembangunan itu berada pada skala yang kecil, ia tidak kurang pentingnya bagi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Tutong.
"Sebagai contoh, secara berperingkat, akan dibina dewan kemasyarakatan dan juga gerai-gerai jualan bagi meningkatkan perekonomian penduduk setempat serta bagi kemudahan orang ramai, pemeliharaan jalan-jalan kecil."
Di samping itu juga, beliau menyatakan bahawa agensi-agensi berkenaan turut memeduli dan memantau golongan yang memerlukan bantuan termasuk golongan daif supaya kebajikan mereka diberikan keutamaan.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan pemimpin akar umbi iaitu penghulu dan ketua-ketua kampung harus memainkan peranan penting dalam memantau, mendekati dan memeduli anak-anak buah mereka bagi memastikan bahawa mereka yang memerlukan bantuan mendapat perhatian yang sewajarnya.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Keriam, Tutong, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha bin Abdul Rauf.
--Courtesy of Media Permata.gif)


