Bandar Seri Begawan, 23 Nov - Sehari selepas gudang penyimpanan minuman di Kawasan Perindustrian Lambak Kanan terbakar, sebuah gudang perniagaan turut ditimpa musibah yang sama.
Tingkat bawah sebuah pasar raya terkenal di Kampung Serusop musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
Kebakaran awal pagi itu tatkala kebanyakan kedai di kawasan berkenaan belum dibuka, telah menarik perhatian orang ramai yang ingin melihat sendiri keadaan di tempat kejadian.
Pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 7.54 pagi dan segera mengejarkan 19 orang anggota dari Balai Bomba Lambak Kanan, Balai Bomba Berakas dan Unit Operasi Wanita bersama 4 buah jentera, ke tempat kejadian.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, Awang bin Haji Tengah berjaya mengawal api dalam masa 10 minit.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu kenyataan di sini berkata, apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, mereka mendapati asap tebal dan api kecil membakar sebahagian tingkat bawah bangunan tiga tingkat berkenaan.
Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada kerosakan alat kapasitor timbangan elektronik. Jumlah kerugian masih dalam siasatan.
--Courtesy of Media Permata.gif)












