Bandar Seri Begawan, 6 Dis - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi Bin Haji Othman menegaskan untuk menangani perubahan iklim dan impaknya, Negara Brunei Darussalam percaya perlunya untuk meletakkan keseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi, perkembangan sosial dan perlindungan alam sekitar, yang membentuk asas perkembangan yang berdaya tahan.
Menurut beliau, Negara Brunei Darussalam berterusan mengintegrasikan dimensi alam sekitar ke dalam projek-projek perbangunan kebangsaan, untuk memastikan pertumbuhannya yang berdaya tahan.
Yang Berhormat Pehin menyatakan perkara ini pada Sesi ke 18 Persidangan Pihak-Pihak (COP 18) untuk Rangka Kerja PBB bagi Konvensyen Perubahan Iklim (UNFCCC) dan Sesi ke 8 Persidangan Pihak-Pihak Bermesyuarat (CMP8) untuk UNFCCC yang diadakan di Doha, Qatar.
Katanya, usaha Brunei itu antara lain turut merangkumi pengenalan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dalam perancangan dan pelaksanaan projek-projek dan penggunaan tanah menerusi pengenalan pembangunan menegak dalam skim perumahan negara dan pemuliharaan sumber-sumber karbon dengan mengekalkan lebih daripada 50% dari kawasan tanah kami di bawah perlindungan hutan dan membahagi-bahagikan peratusan kawasan-kawasan pembinaan sebagai kawasan hijau.
"Langkah-langkah lain termasuklah menggalakkan produk dan teknologi alam sekitar yang mantap dan juga meningkatkan kesedaran gaya hidup mesra alam dan keberkesanan sumber, seperti penggunaan tenaga dan air secara bijak dan berkesan dalam amalan penggunaan harian kami; mempromosikan inisiatif ke atas bangunan hijau, terutamanya menggunakan rekaan tenaga yang berkesan dan menjana tenaga yang boleh dibaharui, dengan tujuan untuk menyumbangkan 10% kepada tenaga kami pada 2030, menerusi 1.2 MW Solar Photovoltaic Power Generation Demonstration Project, yang mampu menjana tenaga kepada lebih dari 200 buah rumah.
"Pada peringkat serantau, inisiatif pemuliharaan hutan tiga pihak bersama Malaysia dan Indonesia yang digelar 'Nadi Borneo', menjanjikan 3, 300 kilometer persegi dari hutan hujan tropika kami, melibatkan sekitar 58% dari purata kawasan darat kami.
Yang Berhormat Pehin berkata, inisiatif hijau ini, mengukuhkan lagi sumbangan kolektif Brunei Darussalam kepada agenda perubahan iklim global, berkaitan dengan Pengurangan Pengeluaran daripada Pembasmian dan Degradasi Hutan dan peranan pemuliharaan, pengurusan terhadap hutan dan peningkatan simpanan karbon (REDD Plus) dan Guna Tanah, Pertukaran Guna Tanah dan Perhutanan (LULUCF).
Menteri Pembangunan menambah, walaupun dengan penduduk yang kecil dan sumber terhad dan juga pengeluaran karbon bersih global yang tidak signifikan itu kurang dari 0.01%, Brunei Darussalam akan meneruskan usaha dan melakukan sebaiknya untuk menangani perubahan iklim sebagai satu tanggungjawab, untuk memelihara bumi. Brunei Darussalam bersedia untuk bekerjasama bagi hasil yang seimbang di Doha.
Bercakap mengenai persidangan itu, Yang Berhormat Pehin Awang Haji Suyoi berkata Brunei Darussalam melihat COP18 & CMP8 sebagai utama dan penting berbanding Protokol Kyoto.
"Kami juga melihatnya sebagai masa yang penting bagi kejayaan terhadap Kumpulan Kerja Ad Hoc bagi Tindakan Kerjasama Panjang, Kumpulan Kerja Ad Hoc ke atas Protokol Kyoto dan pelancaran protokol ke dalam tempoh pelaksanaannya bagi tempoh selanjutnya.
"Perlu ada tempoh komitmen kedua, yang mempunyai sasaran yang tinggi, disahkan segera dan bersedia untuk dilaksanakan, tanpa sebarang jurang di antara tempoh komitmen pertama dan kedua.
"Kita perlu menghantar mesej kepada dunia bahawa kita bukan hanya bertukar-tukar kenyataan dan pendapat di sini, tetapi menukarnya menjadi tindakan konkrit, sebagai usaha kolektif dan global untuk menangani perubahan iklim dan impaknya.
"Berhubung perkara ini, negara Brunei Darussalam juga melihat instrumen perundangan baru atau keputusan yang dipersetujui dengan kuasa perundangan di bawah Konvensyen yang sesuai kepada semua Pihak menerusi Platform Durban, untuk dikuatkuasakan pada 2020.
"Instrumen ini, kami percaya, perlu mendukung peruntukan dan dasar Konvensyen dengan kesamaan tetapi tanggungjawab yang berbeza."
--Courtesy of Media Permata.gif)


