Bandar Seri Begawan, 3 Dis - 'Kedai Komunis' yang terkenal dengan penjualan DVD dan CD muzik dan filem serta perisian permainan cetak rompak hari ini sekali lagi diserbu oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguat Kuasa Undang-Undang Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Pasukan Polis Diraja Brunei serta merampas berkotak-kotak DVD dan CD, yang dipercayai bahan cetak rompak.
Kedai tersebut ternyata tidak mengendahkan amaran dan peringatan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang, malah telah diarah tutup awal tahun ini kerana melanggar syarat-syarat yang ditetapkan dalam permit perniagaan (Lesen Rampaian) manakala pemiliknya yang didapati berselindung di belakang lesen 'Ali Baba' juga telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah selepas melalui proses perbicaraan yang panjang.
Namun, selepas publisiti buruk, arahan penutupan dan sabitan bersalah, pengusaha kedai berkenaan masih menunjukkan sikap degilnya dengan menjual barangan tidak sah di premis yang sama, di mana dia sudah didakwa, disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman.
Dalam serbuan hari ini, 'Kedai Komunis' dipercayai telah melanggar beberapa undang-undang, yang boleh didakwa di mahkamah, termasuk pertuduhan di bawah Akta Lesen Rampaian 127 dan Akta Undang-undang Perbandaran 57 selain dibawah Akta Harta Intelek, Akta Penapisan, Akta Buruh dan juga Akta Imigresen.
Semasa serbuan besar-besaran hari ini, pegawai-pegawai penguat kuasa undang-undang Jabatan Bandaran mendapati kedai tersebut dipasang dengan begitu banyak kamera litar tertutup yang mengawasi hampir setiap sudut kedai.
Begitu juga bilik-bilik serta pintu-pintu keluar yang tersembunyi.
--Courtesy of Media Permata.gif)


