Thought of the Day:
"For many of us, there's a gap between the compass and the clock-between what's deeply important to us and the way we spend our time."

Sunday, May 19th

Last update07:49 PM (UTC +8:00)

You are here: Home Malay News Jana Kemakmuran Bersama

Jana Kemakmuran Bersama

  • PDF
21pic2

New Delhi, 20 Dis - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, sasaran perdagangan ASEAN dan India tahun ini telah melangkaui AS$70 bilion, sekaligus membuktikan pertumbuhan yang kuat dalam hubungan perdagangan bersama, walaupun di sebalik ketidakpastian ekonomi sejagat.

Baginda percaya bahawa dengan muktamadnya perundingan FTA ASEAN-India, ianya akan melipatgandakan lagi perdagangan dan pelaburan, yang mana sudah setentunya dapat membantu mencapai sasaran perdagangan bersama yang melebihi 100 bilion dolar Amerika.

Sehubungan itu Baginda juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Manmohan Singh kerana usaha-usaha dan komitmen peribadinya dalam memperkukuh kerjasama perdagangan kedua rakan kongsi ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan perkara ini semasa berkenan mengurniakan titah pada Sesi Plenari, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India 2012, di Durbar Hall, Hotel Taj Palace, New Delhi, India.

Baginda memulakan titah dengan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Manmohan Singh, pegawai-pegawai dan rakyat India kerana menjadi hos mesyuarat ini serta sambutan muhibah yang diterima.

Baginda merasa gembira berada lagi di New Delhi terutamanya bagi meraikan ulang tahun ke-20 hubungan dialog bersama.

Terdapat juga potensi dalam kerja-kerja ke atas jalinan perhubungan yang baru-baru ini telah dimulakan bersama. Ia, tambah Baginda, bukan sahaja membawa kedua-dua rakyat menjadi lebih dekat, akan tetapi ianya juga akan mengembangkan jalinan perdagangan dan perusahaan bersama.

Dalam hubungan ini, Baginda menghargai sokongan berterusan dan komitmen Kerajaan India terhadap Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (ASEAN Connectivity Master Pelan). Baginda juga merasa gembira bahawa kebanyakan aktiviti-aktiviti bagi memperingati ulang tahun seperti Rali Kereta dan Ekspedisi Sudarshini, adalah mencerminkan usaha-usaha bersama dalam bidang ini.

Bagi memastikan kedua-dua negara merealisasikan sepenuhnya visi masa depan bagi 'Keamanan, Kemajuan dan Kemakmuran Bersama', adalah mustahak kedua-dua pihak terus meningkatkan kerja usaha menangani isu-isu strategik terutamanya dalam bidang-bidang cegah keganasan (counter-terrorism), memerangi semua jenayah rentas sempadan (recombating transnational crime) dan keselamatan maritim (maritime security).

Dalam hubungan ini, Baginda menghargai penyertaan berterusan India dalam ARF, ADMM Plus dan juga Expanded ASEAN Maritime Forum.

Akhirnya, Baginda menjelaskan bahawa sebagai negara penyelaras, Negara Brunei Darussalam akan terus komited dalam memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dengan sokongan daripada rakan-rakan ASEAN.

Baginda yakin bahawa kedua-dua pihak akan boleh membina kemajuan yang telah dicapai dan memastikan bahawa perkongsian strategik ini akan membawa manfaat kepada semua rakyat kedua-dua pihak.

Di akhir Sesi Plenari, mesyuarat telah mengesahkan Kenyataan Wawasan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN India yang membawa hala tuju masa depan kerjasama ASEAN-India dalam bidang-bidang kerjasama Politik dan Keselamatan; Ekonomi; Sosiobudaya dan Pembangunan; Keaslinghubungan dan Regional Architecture.

Pada awalnya sebelum Sesi Plenari, Kebawah Duli Yang Maha Mulia beserta dengan Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN yang lain dan Perdana Menteri Manmohan Singh, telah berkenan menghadiri sesi foto berkumpulan, di Rani Bagh, Hotel Taj Palace.

Keberangkatan tiba Baginda di Vazir Lounge, Hotel Taj Palace, di alu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Manmohan Singh. Mengiringi Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua) Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus