Galak Kefahaman Antarabangsa

9pic1

Bali, 8 Nov - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa Forum Demokrasi Bali telah berkembang sejak empat tahun lalu dan telah menjadi satu acara yang penting di dalam kalendar serantau.

Ini adalah merupakan salah satu usaha murni Presiden Republik Indonesia untuk menggalakkan kefahaman antarabangsa secara meluas.

Titah Baginda, tema Forum Demokratik Bali ke-5 ini adalah selaras dengan prinsip-prinsip yang dipersetujui dalam Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut dikongsikan dalam Program Tindakan 10 tahun Mekah dibawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Prinsip-prinsip ini bertujuan untuk menyediakan peluang sepenuhnya kepada semua penduduk untuk menikmati kehidupan di dalam persekitaran yang selamat, serta yakin terhadap masa depan mereka, titah Baginda pada Sesi Perdebatan Umum Forum Demokrasi Bali V di Pusat Persidangan Antarabangsa Bali, Nusa Dua, Bali.

Perasmian forum bertemakan 'Mengerakkan Prinsip-Prinsip Demokratik di Peringkat Global,' itu disempurnakan Presiden Republik Indonesia Dato Laila Utama Dr. Haji Susilo Bambang Yudhoyono.

Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis perasmian forum berkenaan dialu-alukan oleh Presiden Dr. Haji Susilo Bambang Yudhoyono.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menyatakan bahawa negara-negara telah melanggan prinsip-prinsip tersebut melalui penyertaan dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan kerajaan-kerajaan juga telah berusaha untuk melaksanakannya mengikut keperluan dan keupayaan rakyat.

Bagaimanapun, dalam keghairahan untuk mengamalkannya, negara-negara seharusnya memastikan bahawa prinsip-prinsip tersebut tidak menjadi titik perbelahan yang menggugat perpaduan masyarakat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyarankan perlunya ada keseimbangan antara pelbagai kepentingan, keprihatinan dan tanggungjawab dalam masyarakat masing-masing.

Satu cabaran lagi adalah untuk memastikan negara dapat menterjemahkan prinsip-prinsip global tersebut dengan berhati-hati agar ia bersesuaian dengan cara hidup seharian rakyat masing-masing.

Mengakhiri Titah, Baginda menyatakan bahawa inilah sebab utama forum tersebut dianjurkan supaya pandangan-pandangan boleh dikongsikan di kalangan para pemimpin disamping mendengar pandangan daripada pembentang-pembentang yang terkemuka.

Forum Demokrasi Bali V dihadiri oleh ketua-ketua negara/kerajaan yang lain termasuk Australia; Republik Islam Afghanistan; Republik Islam Iran; Papua New Guinea; Republik Demokratik Timor-Leste; dan Thailand dan perwakilan-perwakilan dari negara-negara lain bersama delegasi masing-masing.

Setelah Sesi Perdebatan Umum selesai, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat bersama Ketua-Ketua Negara/Kerajaan dan perwakilan-perwakilan yang lain bagi menghadiri Majlis Santap Tengahari yang dihoskan oleh Presiden Dr Susilo Bambang Yudhoyono.

Hadir mengiringi keberangkatan Baginda Sultan ke Forum Demokrasi Bali V ialah Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus