Tutong, 28 Dis - Institusi keluarga yang bahagia, bersatu-padu, sempurna dan sepakat memainkan peranan yang amat penting bukan sahaja dalam menangani isu-isu sosial tetapi juga mampu melahirkan masyarakat yang berkualiti dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Di samping itu juga, keluarga yang sihat itu, merupakan keluarga yang bahagia dan terus teguh bersama-sama dalam mengadakan pelbagai kegiatan riadah dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Dalam sama-sama meraikan pentingnya institusi keluarga itu dan untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat menerusi kegiatan riadah, penduduk dan kawasan sekitar Mukim Kiudang, tidak melepaskan peluang dalam memeriahkan lagi acara sambutan itu dengan mengadakan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bagi Mukim Kiudang, Tutong yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Mukim Kiudang, Daerah Tutong dengan kerjasama Pejabat Daerah Tutong yang berlangsung di Padang dan Dewan Sekolah Rendah Kiudang Tutong 1, Daerah Tutong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat, merasmikan dan untuk sama-sama mengambil bahagian dalam acara sempena sambutan berkenaan ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.
Majlis dimulakan dengan acara senamrobik yang disertai oleh Datin Paduka Hajah Adina serta penduduk-penduduk dari Mukim Keriam dan diikuti dengan ceramah khas, Keluargaku Harapanku yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Da'wah Islamiah Negara Brunei Darussalam, Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohd Ali.
Acara sambutan diserikan lagi dengan peraduan melukis dan mewarna bagi kanak-kanak mukim berkenaan
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan anugerah kepada penerima warga tertua Mukim Kiudang Tutong serta penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan mewarna dan melukis yang disempurnakan oleh Datin Paduka Hajah Adina.
Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2012 membawa tema, Keluargaku Harapanku itu dihasratkan untuk meneguhkan susunan dan jalinan fabrik sosial untuk mengukuh dan meningkatkan kesejahteraan keluarga melalui program usaha sama yang berkesan ke arah melahirkan masyarakat dan bangsa yang berkualiti dan berdaya maju.
Sambutan itu juga dihasratkan untuk menggalakkan ibu bapa dan sekalian anggota keluarga meluangkan masa yang berkualiti bersama ahli keluarga serta sentiasa mementingkan keluarga dalam apa jua keadaan sekalipun.
Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang akan diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk memberikan kesedaran dan peringatan bagi setiap keluarga untuk tidak lupa akan peranan penting mereka terhadap keluarga dan memberikan kasih sayang kepada keluarga walaupun mereka sibuk dengan urusan pekerjaan dan perniagaan.
Melalui sambutan itu, diharapkan akan dapat menjadikan Brunei sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang prihatin dan yang mempunyai kesedaran kepada peranan penting institusi keluarga dalam membangun negara bangsa.
--Courtesy of Media Permata.gif)


