Fenomena Air Kemerahan

media-permata

Bandar Seri Begawan, 14 Dis - Hasil daripada pemantauan dan analisis makmal yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan hari ini menunjukkan bahawa perairan Negara Brunei Darussalam kini telah dilanda oleh air kemerah-merahan.

Jabatan Perikanan dalam satu kenyataan di sini berkata, kawasan-kawasan yang didapati terjejas adalah kawasan Pelumpong dan Pancang Hijau. Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Sabah melalui siaran media Borneo Post bertarikh 13 Disember 2012 memaklumkan bahawa sebahagian daripada kawasan perairan negeri Sabah iaitu Kuala penyu, Pulau Gaya, Teluk Penanggar termasuk Kuala Menggatal, Teluk Likas, Daerah-daerah papar, Putatan dan Tuaran telah didapati mengandungi tahap keracunan air kemerah-merahan yang tinggi.

"Berikutan dengan kejadian air kemerah-merahan di negeri Sabah, Jabatan Perikanan dengan ini menarik balik kebenaran pengimportan ikan iaitu ikan kecil seperti tamban, aur-aur, rumahan bini, rumahan laki, temanong, selidai, anglar, geronggong, basong-basong, pusu, kuasi dan tamanong bersurat serta semua jenis kerang-kerangan dari negeri Sabah," kata kenyataan itu lagi.

Jabatan Perikanan berkata, sebagai langkah berjaga-jaga orang ramai adalah diingatkan untuk membuang semua ingsang, perut dan organ-organ dalaman ikan sebelum dimasak.

Ikan-ikan kecil yang tidak dapat dibuang ingsang, perut dan organ-organ dalaman serta kerang-kerangan dan ikan-ikan dari kawasan yang terjejas serta tidak diketahui asal usulnya hendaklah jangan dimakan.

Pihak Jabatan Perikanan akan berterusan memantau situasi air kemerahan-merahan ini. Orang ramai terutamanya para nelayan boleh membantu pihak Jabatan dengan melaporkan sebarang pengubahan warna air serta melaporkan sebarang kejadian ikan mati secara banyak di perairan negara dan pantai kita menerusi telefon 2770066 (waktu pejabat), 8614867, 8878833, 8847846, 8787337 dan 8675409.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus