Thought of the Day:
"Putting first things first is an issue at the very heart of life."

Tuesday, May 21st

Last update06:38 AM (UTC +8:00)

You are here: Home Malay News Cukai Harta Pusaka Mansuh

Cukai Harta Pusaka Mansuh

  • PDF
8pic1

Bandar Seri Begawan, 7 Mac - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah memperkenankan bagi cukai Harta Pusaka (Estate Duty) ditiadakan mulai 1 Januari 2013, bagi tujuan menggalakkan pelaburan dalam negara.

Titah Baginda, ini termasuk juga mana-mana cukai harta pusaka yang masih tertunggak turut dihapuskan dari kira-kira.

Baginda bertitah sempena istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-9 Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, di Bandar Seri Begawan hari ini.

Baginda seterusnya bertitah, sejak lima tahun kebelakangan ini, dunia terus dibayangi oleh pergolakan ekonomi global yang dikhuatiri mungkin dapat menjejaskan kehidupan rakyat dan penduduk, walaupun pihak Tabung Kewangan Antarabangsa IMF, pada akhir-akhir ini telah melahirkan sentimen, lebih positif terhadap situasi ekonomi dunia.

Namun pada pengamatan Baginda, kedudukan fiskal sistem kewangan dan ekonomi di beberapa buah negara utama dunia masih saja terus bermasalah, masih terus teruji.

Dengan sebab inilah, titah Baginda, kerajaan berhasrat meneruskan dan melipat gandakan usaha-usaha mengukuhkan ekonomi dan pertumbuhannya. "Sebagai salah satu keperluan utama ialah pengembangan perniagaan dan perdagangan serta menarik lebih banyak lagi pelaburan asing.

"Kita juga akan terus mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif, industri huluan dan hiliran sektor minyak dan gas juga akan terus dimantapkan selaku penyumbang utama ekonomi kita.

"Manakala kemajuan sektor swasta yang bukan minyak dan gas, akan terus dipermudahkan sebagaimana berjalan sekarang.

"Sementara sumbangan sektor kerajaan pula, akan diteruskan terutama dalam bentuk pembinaan prasarana-prasarana utama."

Baginda bertitah, peruntukan kewangan sebanyak $6.5 bilion dalam RKN ke-10 adalah merupakan komitmen yang sangat besar daripada kerajaan Baginda untuk membiayai pelbagai projek pembangunan negara.

Semua ini, tegas Baginda perlu mendapat perhatian yang serius daripada sekalian ahli MMN terutama ahli-ahli yang dilantik, mereka itu perlu untuk memberikan pandangan sebanyak yang mungkin.

Baginda seterusnya menekankan, adalah tidak memadai setakat banyak bertanya saja tanpa memberikan pandangan, begitu juga tidak memadai setakat menyebut-nyebut jumlah peruntukan yang besar tanpa melihat apa dan bagaimana ia digunakan dengan berkesan.

"Ini semua tidak dapat disangkal lagi, adalah memerlukan pandangan dan buah fikiran daripada ahli-ahli. Kita percaya, ahli-ahli terutama mereka yang dilantik tentu saja sudah maklum atau mengetahui bidang-bidang yang dimajukan di dalam perancangan kerajaan.

"Maka bersabit itu tidakkah tepat pada masanya untuk mereka itu mesti sama-sama memberikan pandangan. Berikanlah pandangan misalnya, bagaimanakah cara untuk meningkatkan lagi pendidikan, memperbaiki taraf kesihatan, mengatasi pengangguran, memajukan pelaburan, pelancongan, pertanian, perikanan dan alam sekitar."

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, di dalam bidang-bidang ugama dan undang-undang pula diperlukan juga pandangan dan buah fikiran, bagaimana cara umpamanya untuk memperkeras serta melicinkan lagi pelaksanaannya.

Begitu juga dalam bidang sosial, bagaimanakah cara yang berkesan untuk mengatasi dan mengubati penyakit jenayah dan lain-lain penyakit moral. Pendeknya titah Baginda, bidang-bidang ini adalah sangat luas dan terbuka untuk disebut dan dibincangkan.

"Jika ada respons baik dan hangat dari ahli-ahli mengenainya, maka barulah ada makna kita bersidang. Pada hemat Beta, inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Mereka ingin untuk mendengarnya, mereka suka untuk tahu apa dia perkembangannya di dalam negara melalui projek-projek kerajaan yang telah dan sedang berjalan.

"Adalah tidak memadai dengan cuma menyebut RKN ke-10, dengan peruntukan yang begitu besar tanpa memberikan gambaran, apa dia projek-projek yang diungkayahkan itu dan bagaimana ia berjalan.

"Pada hemat Beta, inilah dia tanggungjawab besar ahli-ahli MMN selaku pemimpin akar umbi, mereka berkewajipan untuk mengetahui selengkapnya semua inisiatif kerajaan, baik yang telah mahupun sedang dilaksanakan meliputi semua aspek dan bidang ugama, ekonomi, pendidikan infrastruktur dan mentaliti, keselamatan dan sosial."

Menurut Baginda lagi, dengan cara ini ahli-ahli MMN barulah dapat dianggap telah memartabatkan Majlis ini selaku institusi yang dihormati.

Selaku forum perbincangan yang diharapkan mampu untuk menghindari perkara-perkara remah-temeh dan sebaliknya mengutamakan perkara-perkara besar untuk kebaikan semua lapisan rakyat dan negara.

Baginda berharap, MMN ke-9 ini akan dapat berlangsung dengan licin dan sempurna serta mampu mencapai objektifnya.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus