Bandar Seri Begawan, 20 Jan - Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned mengajak umat Islam untuk mengenali dan memahami secara lebih dekat lagi mengenai Undang-undang Jenayah Syari'ah yang bukan sahaja mencakupi segala aspek kehidupan tetapi menjamin keadilan yang sebenar.
Menurut Yang Berhormat Pehin, undang-undang Jenayah Syari'ah pada masa ini seperti asing dengan kita kerana pendekatan yang tidak betul oleh musuh malah oleh orang-orang Islam sendiri yang kurang arif.
"Dengan keadaan Brunei sendiri yang telah mendapat perkenan daripada raja untuk melaksanakan undang-undang tersebut dan dengan adanya perkenan ini, telah dengan sendirinya menjadi kewajipan kita untuk 'mesti tahu' dan kenal benar-benar apa Undang-undang Jenayah Syari'ah itu, apa rupanya, rahsianya, bagaimana ia dijalankan, ke atas siapa dan untuk apa serta lain-lain lagi."
Yang Berhormat Pehin menegaskan perkara ini dalam Ceramah Kuliah Subuh Bersama Mufti sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi Wasallam bagi tahun 1434/2013, di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit Mukim Kilanas hari ini.
"Selama ini kita cuma banyak mendengar desas-desus mengenainya. Ada yang berkata, ia hanya sesuai untuk masyarakat di padang pasir pada zaman unta. Atau ada juga yang berpendapat undang-undang ini kejam, tidak sesuai lagi dengan zaman. Atau ada yang berkata belum tiba lagi masanya untuk dilaksanakan dan macam-macam lagi.
"Sebenarnya apa pun bentuk desas-desus itu, ianya keluar dari mulut dan dada yang tidak mengerti tentang Islam. Itu biasa dan lumrah, sebagaimana pepatah Tak kenal maka tak cinta."
Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa kanun atau undang-undang Allah itu jangan dianggap sempit, kerana ia amat luas, meliputi segala aspek: aspek aqidah, seperti berkaitan dengan ketuhanan dan kenabian.
"Aspek akhlak, seperti berkaitan dengan perangai, perkataan dan malah rasa hati. Aspek zahir, seperti berkaitan dengan ibadat. Aspek Kekeluargaan, seperti berkaitan dengan pernikahan, perceraian, nafkah dan lain-lain. Aspek Muamalat, seperti berkaitan dengan jual beli, gadaian, perbankkan dan lain-lain. Aspek antarabangsa, seperti berkaitan dengan peperangan, perdamaian dan perjanjian.
"Semua itu diliputi oleh undang-undang Allah; cantik, kemas dan sempurna dan jika dilihat lagi terperinci, lagi cantik, menawan dan memikat."
Menurutnya, keindahan undang-undang ini bukan sahaja diakui malah turut dihormati oleh orang-orang bukan Islam. Cuma sa-nya mereka itu tidak mahu berterus terang untuk mengakui.
Beliau memberikan beberapa contoh mengenai kecantikan undang-undang Allah, antaranya tentang perkara akhlak yang juga turut menjadi urusan perundangan.
"Mulut kesat, hati jahat sama sekali dilarang. Kerana itu, adalah menjadi kesalahan jika orang dengki, jika orang mencaci maki, menghina, membuka aib orang lain, jika berbohong, mengumpat, semua itu boleh dihukum dengan ta'zir.
"Perkara muamalat, juga ada undang-undangnya. Seperti jual beli, hutang piutang, gadaian, perbankan ada undang-undangnya. Dalam jual beli, undang-undang Allah mewajibkan semua sukatan dan timbangan mesti lurus, jangan kurang tetapi lebih dibolehkan dan dijadikan sedekah.
"Begitu juga, katanya dalam hutang piutang, gadaian dan perbankan, undang-undang Allah adalah melarang keras riba iaitu larangan total, kerana riba membebankan satu pihak malah menyakitinya dan suatu kezaliman."
Mengenai mengurangi sukatan dan timbangan, Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa Allah ada mengingatkan mengenai bahayanya. Padahnya sungguh getir, di dunia dapat bencana dan di akhirat pula jadi habuan neraka.
"Peringatan dan amaran Allah mengenai perilaku jenayah dan curang dalam perkara menyukat dan menimbang ini tegasnya banyak terdapat di dalam Al-Qur'an sebagai satu isyarat jelas untuk dipatuhi dan bukan cuma untuk disebut-sebut, tetapi ia adalah undang-undang Allah yang kekal. Sesiapa yang mematuhinya akan beroleh bahagia dan yang melanggarnya pula akan celaka."
Menurut Yang Berhormat Pehin, orang-orang yang tamak, orang-orang yang rakus, orang-orang curang yang mengambil dan memakan hak orang lain - khasnya melalui sukatan dan timbangan - tidak akan selamat.
Tambah beliau lagi, undang-undang Allah berkaitan dengan hutang piutang, gadaian dan perbankan, juga telah dikanunkan supaya kita berlaku adil iaitu tidak menindas, tidak menzalimi dan menyakiti orang dengan riba, dengan bunga atau 'interest.'
Yang Berhormat Pehin menjelaskan, undang-undang seperti ini, sistem seperti ini sungguh cantik dan tidak ada yang melihatnya tidak cantik. Semua akan menilainya bagus dan cantik, sama ada mereka orang-orang Islam ataupun bukan, sebab itulah bank-bank Islam dan institusi-institusi kewangan tanpa riba bukan saja tumbuh di dunia Islam sendiri, malahan juga di negeri-negeri bukan Islam sehingga Eropah.
Semua ini berlaku kerana orang tertawan atau tertarik hati dengan keadilan undang-undang Allah ini, yang mengharamkan riba itu.
--Courtesy of Media Permata.gif)


