Thought of the Day:
"For many of us, there's a gap between the compass and the clock-between what's deeply important to us and the way we spend our time."

Sunday, May 19th

Last update03:40 AM (UTC +8:00)

You are here: Home Malay News Brunei, Netherlands Terus Akrab

Brunei, Netherlands Terus Akrab

  • PDF
22pic1

Bandar Seri Begawan, 21 Jan - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyatakan rasa sukacita Baginda dengan hubungan persahabatan dan kerjasama yang terus berkembang serta diperkukuhkan antara kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam dan Netherlands.

Menurut Baginda Sultan, kedua buah negara mempunyai hubungan yang erat yang dinikmati sejak sekian lama di mana rakyat Belanda merupakan antara warga Eropah yang pertama yang berkunjung ke rantau Asia Tenggara.

"The Royal Dutch Shell Company merupakan antara syarikat Eropah pertama yang datang ke Brunei Darussalam dan ia juga telah beroperasi di sini sejak kali pertama penemuan minyak pada 1929," titah Baginda pada Majlis Persantapan Diraja bagi meraikan Lawatan Negara Her Majesty Queen Beatrix of The Netherlands serta rombongan di Istana Nurul Iman, malam ini

Baginda seterusnya bertitah bahawa sejak dari itu, interaksi antara warga Belanda dan penduduk Brunei terus wujud di mana rakyat kedua buah negara tidak asing lagi antara satu sama yang lain.

Baginda Sultan bertitah bahawa dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kerjasama antara Brunei Darussalam dan Netherlands telah berkembang lebih daripada hanya dalam sektor minyak dan gas tetapi telah meliputi bidang-bidang baru termasuk kesihatan dan kebudayaan.

"Royal Dutch Shell telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menubuhkan Pusat Promosi Kesihatan Brunei pertama pada 2008. Terbaru, pegawai-pegawai kita telah membincangkan kaedah untuk mempertingkatkan kerjasama kebudayaan kita," titah Baginda.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan perasaan gembira dengan beberapa pertukaran kebudayaan yang telah dijalankan termasuk pameran-pameran bersejarah dan juga perkongsian kepakaran.

Baginda percaya dengan kerjasama serta hubungan sejarah dengan rantau Asia Tenggara, kedua buah negara mampu untuk menonjolkan khazanah yang dikongsi bersama ke pentas dunia.

Menyentuh mengenai dengan hubungan Brunei dan Netherlands sebagai ahli-ahli organisasi antarabangsa utama dan perkumpulan serantau termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ASEAN, Baginda Sultan bertitah bahawa kedua buah negara mempunyai hubungan kerjasama yang erat dalam organisasi serta pertubuhan berkenaan.

Penyertaan kedua-dua buah negara dalam badan-badan berkenaan, titah Baginda lagi, memberikan peluang kepada kedua-dua buah negara untuk menunjukkan bahawa kedua-dua buah negara juga memberikan sumbangan kepada dunia yang kompleks dan berbeza yang dikongsi berkenaan.

Baginda juga percaya bahawa Lawatan Negara Ratu Beatrix akan menggalakkan lebih banyak pertukaran dan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Netherlands dalam pelbagai bidang serta juga menandakan satu mercu tanda penting bagi hubungan dua hala kedua buah negara.

Sementara itu, Ratu Beatrix dalam Titah Baginda menyatakan bahawa Netherlands amat kagum dengan usaha Brunei untuk mengurus sumber asli yang dimiliki dan untuk memulihara khazanah berkenaan bagi generasi akan datang.

Baginda percaya dengan usaha itu, Brunei telah memilih untuk pembangunan dan kerjasama ekonomi mampan.

"Bersama dengan Indonesia dan Malaysia, Brunei memastikan bahawa Nadi Hijau Borneo terus berdegup. Ini bukannya hanya satu persoalan pemuliharaan alam semula jadi. Pengurusan air yang baik dan prospek yang lebih baik bagi masyarakat setempat adalah juga penting. Dalam usaha anda dalam semua bidang ini, anda boleh bersandar kepada minat berterusan dan penyertaan Netherlands."

Baginda Ratu Beatrix seterusnya bertitah bahawa hubungan yang lama terjalin antara Brunei dan Shell juga menunjukkan bahawa kerjasama dan kefahaman bersama boleh menjana kejayaan dimana bagi tempoh lebih 80 tahun, Shell terus menjadi rakan kongsi penting bagi kerajaan Brunei.

Baginda bertitah bahawa kerjasama itu terus meliputi dan berkembang dalam pelbagai bidang yang tidak hanya terhad kepada minyak dan gas dimana mempelbagaikan ekonomi tanpa hilang pandang terhadap kepentingan rakyat, alam sekitar dan alam semula jadi merupakan antara cabaran getir yang dihadapi oleh Brunei.

Ke arah itu, Brunei telah menubuhkan visi bagi masa depan negara iaitu Wawasan Negara 2035 dengan Brunei dan Shell terus bekerjasama dalam fasa pembangunan yang baru dimana ia merupakan petunjuk yang jelas mengenai dengan kualiti hubungan dan keyakinan yang dirasakan oleh kedua buah negara.

Baginda Ratu Beatrix bertitah lagi bahawa kerjasama merentas sempadan terus mempromosi pembangunan dan kestabilan serta juga kesejahteraan manusia.

ASEAN terus memberikan sumbangan positif kepada usaha tersebut sejak penubuhannya dan memainkan peranan pembangunan dalam rantau berkenaan. Sehubungan dengan itu, titah Baginda Ratu Beatrix, Netherlands amat mengalu-alukan pendekatan aktif Brunei dalam ASEAN dan akan terus bekerjasama untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Kesatuan Eropah dan ASEAN.

Baginda juga bertitah bahawa 2013 merupakan tahun yang istimewa bagi Brunei yang merupakan Pengerusi ASEAN dan oleh itu, Netherlands terus memandang ke hadapan dalam meneroka peluang-peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam tempoh berkenaan.

Mengulas mengenai kekayaan budaya Brunei, Baginda Ratu Betarix bertitah bahawa rakyat Netherlands amat tertarik dengan budaya Brunei namun begitu pertukaran kebudayaan antara kedua buah negara adalah terhad.

Oleh itu, inisiatif untuk meningkatkan lagi hubungan dalam bidang berkenaan amat dialu-alukan dimana baru-baru ini, Muzium Brunei dan The Royal Institute in Amsterdam telah merancang untuk mengukuhkan lagi hubungan bersama menerusi usaha meningkatkan kesedaran mengenai dengan keindahan Brunei serta untuk mendalamkan lagi kefahaman antara penduduk kedua buah negara dan usaha yang dilaksanakan itu harus diberikan pujian, titah Baginda Ratu Beatrix.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus