Phnom Penh, 20 Nov - Negara Brunei Darussalam hari ini secara rasmi menerima penghormatan menjadi Pengerusi ASEAN dan sekaligus akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke 22 tahun depan.
Penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN itu diadakan pada majlis penutupan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke 21 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Kemboja Samdech Hun Sen di Peace Palace, Phnom Penh.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima tukul sebagai simbol penyerahan jawatan daripada Perdana Menteri Samdech Hun Sen. Upacara bersejarah itu turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi oleh siaran Radio dan Televisyen Brunei (RTB) petang ini.
Baginda Sultan seterusnya berkenan mengurniakan titah dengan terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja di atas kejayaan mengendalikan sidang kemuncak minggu ini dan berterima kasih kepada kepimpinan dan komitmen kerajaan Kemboja dan rakyatnya sumbangkan kepada Sidang Kemuncak ASEAN di tahun-tahun yang lalu.
Titah Baginda, sepertimana jua kelaziman di setiap aspek pertubuhan, peranan pengerusi adalah untuk menyesuaikan dengan situasi dan peristiwa yang sering berubah.
Kepimpinan Kemboja dalam menerajui persidangan ini adalah sangat dihargai.
Pada masa yang sama, Baginda juga merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung ASEAN dan Sekretariat ASEAN di atas dedikasi dan sokongan profesional yang telah diberikan. Baginda menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam telah diberikan penghormatan dan tanggungjawab bagi mempengerusikan ASEAN ke-4.
"Dalam setiap kemuncak persidangan, tanggungjawab semakin bertambah besar dan kompleks.
"Menurut perangkaan Sekretariat ASEAN, Komuniti ASEAN telah berlipat ganda sejak penubuhannya.
"Sebanyak 40 peratus penduduk adalah terdiri daripada belia dan mereka akan menghadapi kesan globalisasi sepenuhnya di sepanjang kehidupan mereka," titah Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menambah bahawa garis pandu di dalam Artikel 32 dalam Charter ASEAN telah menyediakan asas mengenai keberkesanan pengerusi.
Justeru kerana itu, ianya adalah merupakan peranan utama dalam Asia Tengara untuk mengukuhkan ASEAN dengan membantu menggalakkan persetujuan bersama tanpa menjejaskan kepentingan negara ahli mahupun rakan kongsi yang lain.
Dengan yang demikian, tugas utama terletak pada menjaga kepentingan 600 juta penduduk yang diwakili.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia selanjutnya mengumumkan tema Persidangan Kemuncak ASEAN ke-22 di Negara Brunei Darussalam ialah "Our People, Our Future Together."
Selepas majlis tersebut, satu video mengenai Negara Brunei Darussalam telah ditayangkan bagi mempromosikan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-22 pada tahun 2013.
--Courtesy of Media Permata.gif)


