Bahaya Menanti

017pic2

Bandar Seri Begawan, 16 Dis - Tiga longgokan sampah 'biasa' dapat dilihat dari kejauhan tetapi apabila diperhatikan lebih dekat ia adalah bahan-bahan bahaya yang dilupuskan berhampiran flat kerajaan di Beribi.

Bahan buangan yang boleh menjangkitkan penyakit itu ditemui oleh salah seorang penduduk di situ. Antara bahan buangan itu termasuklah benda-benda 'tajam' seperti jarum, pisau steril, tiub-tiub plastik, dialisis, picagari yang telah digunakan atau dicemari dengan darah atau bahan-bahan yang berpotensi membawa jangkitan.

Saluran intravena (Intravenous lines - IV) yang dicemari darah, topeng pembedahan dan beg-beg plastik bio-berbahaya juga ditemukan di tempat pelupusan tersebut.

Saksi tersebut mengaku mempunyai latar belakang perubatan dan mengetahui jenis bahan-bahan buangan itu. Beliau yang enggan namanya didedahkan memberitahu Media Permata bahawa, dia menemukan bahan-bahan pelupusan itu dua hari yang lalu kerana bau yang terlalu kuat.

"Ia berbahaya terutamanya bagi kanak-kanak, memandangkan mereka selalu bermain di kawasan ini. Jika mereka secara tidak sengaja terpijak atau mahu tahu kandungan bahan buangan tersebut, kemungkinan mereka akan dijangkiti dengan pencemaran tersebut," katanya sambil menyuarakan rasa bimbang mengenai keselamatan kanak-kanak di kawasan kejiranan tersebut.

"Salah satu kemungkinan ialah mereka yang bertanggungjawab untuk melupuskan bahan buangan tersebut malas untuk melupuskannya di tapak pelupusan atau pembuangan di Sungai Akar/Subok dan membuang bahan-bahan bahaya tersebut ke lokasi tertentu," kata saksi yang mengongsi pandangannya.

Beliau berharap pihak berkenaan akan mengambil tindakan ke atas bahan buangan tersebut dan mereka yang tidak bertanggungjawab itu tidak akan mengulangi kesilapan yang mungkin membawa padah kepada orang awam.

Sementara itu jurucakap Kementerian Kesihatan ketika dihubungi berkata, pihak kementerian telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan akan segera menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai jangan menyentuh bahan-bahan tersebut kerana berbahaya. Menurutnya, kerja pelupusan bahan-bahan buangan dari semua hospital dan klinik kerajaan diberikan kepada sebuah syarikat swasta dan pihak kementerian akan sentiasa memastikan bahan-bahan buangan tersebut dilupuskan secara betul dan sempurna.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus