Thought of the Day:
"In our effort to close the gap between clock and the compass in our lives, many of us turn to the field of 'time management.'"

Thursday, May 23rd

Last update11:47 AM (UTC +8:00)

You are here: Home Malay News 7 Ubatan Tradisional Dicemari

7 Ubatan Tradisional Dicemari

  • PDF
19pic1

Bandar Seri Begawan, 18 Jan - Kementerian Kesihatan ini telah mendapati tujuh produk ubatan tradisional yang diuji baru-baru ini, didapati dicemari dengan bahan racun berjadual dan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

Produk-produk tersebut ialah Tawon Liar Kapsul; Linchee Ginseng Ko Pian Yuan; Rentan Capsules; Xyipaodaotianliang Yinguohongyuanshengwu; Super JiTU; Emperor Huang Saint Medicine dan Sehat Langsing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di sini hari ini, sampel produk-produk berkenaan telah diperolehi oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi dari hasil aktiviti pemantauan dan pemeriksaan di pasaran di negara ini.

Produk-produk itu dicemari dengan bahan-bahan seperti Aminopyrine dan Dipyrone; Dexamethasone dan Chlorpheiramine; Dexamethasone; Sildenafil; dan Sibutramine yang boleh mengakibatkan kesan-kesan negatif yang membahayakan kesihatan.

Para pengguna yang menggunakan mana-mana produk tersebut adalah dinasihatkan untuk berhenti menggunakannya dengan serta merta.

Jika mereka mengalami kesan buruk atau merasa tidak sihat, hendaklah berjumpa dengan doktor.

Aminopyrine atau Dipyrone adalah bahan untuk ubat penahan sakit (pain killers) yang mempunyai risiko tinggi dalam menyebabkan penyakit darah yang serius. Ini juga mengakibatkan sistem imunisasi badan berkurangan dan seterusnya menyebabkan jangkitan yang berisiko tinggi yang boleh membawa maut.

Pengambilan Chlorpheniramine tanpa pengawasan akan menyebabkan kesan negatif yang membahayakan seperti merasa pening, penurunan tekanan darah, degupan jantung yang tidak seperti biasa, kekeliruan, kemurungan dan sawan (convulsions).

Penggunaan Dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh mengakibatkan kesan negatif yang membahayakan yang serius seperti kelemahan otot, tulang retak, kesukaran tidur, penyakit mata (glaucoma), bengkak pada bahagian bawah kaki dan meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

Antara kesan sampingan Sildenafil ialah merasa mual, muntah, muka kemerahan, pening dan dalam kes-kes yang teruk boleh mengakibatkan kemerosotan pandangan mata, peningkatan degupan jantung yang abnormal, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

Sibutramine pula adalah agen pelangsing yang tidak lagi disarankan untuk digunakan dalam rawatan obesiti memandangkan kesan buruk terhadap jantung dan hati. Pengambilan Sibutramine boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, degupan jantung yang tidak menentu dan kesukaran tidur; dan dalam kes-kes yang serius boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di negara ini.

Orang ramai yang menjual produk-produk tersebut adalah diingatkan bahawa ianya adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 yang mana menjual produk-produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan akan dikenakan denda sebanyak $8,000.00 atau penjara selama enam (6) bulan, jika didapati bersalah. Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu diatas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau boleh membahayakan kehidupan manusia, jika didapati bersalah akan didenda sebanyak $16,000 dan dua belas (12) bulan penjara.

Para pengguna yang menggunakan mana-mana produk tersebut adalah dinasihatkan untuk berhenti menggunakannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk atau merasa tidak sihat, hendaklah berjumpa dengan doktor.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati mana-mana produk yang disebutkan di atas masih dipasarkan di Negara Brunei Darussalam.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini, orang ramai boleh lah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di talian 2230036 atau di unit 2G8:04, tingkat 8, Kodominium Ong Sum Ping.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus