Thought of the Day:
"In our effort to close the gap between clock and the compass in our lives, many of us turn to the field of 'time management.'"

Thursday, May 23rd

Last update05:16 PM (UTC +8:00)

You are here: Home Malay News 5,000 Sertai Larian Bandar 2012

5,000 Sertai Larian Bandar 2012

  • PDF
26pic3

Bandar Seri Begawan, 25 Nov - Seramai 5,000 peserta membanjiri ibu negara hari ini bagi menyertai Larian Bandar 2012 bersempena memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Seri Begawan ke-42, yang bermula di Taman Sir Muda Omar Ali Saifuddien.

Berangkat sama menyertai dalam kategori 10 kilometer larian berkenaan, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Turut menyertai larian ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu'min.

Larian tersebut yang bertemakan Run For Your Bandar As a Nation, terbahagi kepada enam kategori iaitu separa maraton bagi peserta lelaki dan perempuan terbuka sejauh 21 kilometer dan kategori terbuka lelaki dan perempuan sejauh 10 kilometer dan lima kilometer.

Sementara itu, kategori Fun Run juga dibukakan kepada peserta yang mana peserta dalam kategori ini berlari sejauh 2.5 kilometer.

Acara larian yang bermula dan berakhir di taman berkenaan dimulakan dengan sesi senamrobik diikuti pelepasan peserta larian.

Larian Bandar dilancarkan oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Haji Mohammad Yusof.

Yang Dimuliakan Pehin juga berkesudian menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada pemenang dan peserta dalam larian bandar tahun ini.

Johan dalam kategori separa maraton lelaki terbuka disandang oleh Johdan Kiplimo Maru dengan catatan masa sejam 10 minit sementara Esther Njeri Nganga dalam kategori perempuan 21 kilometer berjaya menamatkan larian dengan catatan masa sejam 27 minit.

Manakala dalam kategori 10 kilometer lelaki dan perempuan, tempat pertama dimenangi oleh Kennedy Kibet Ronoh dengan catatan masa 24 minit sementara Katarina Birimac pula berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 50 minit.

Bagi kategori lima kilometer lelaki dan perempuan johan dimenangi oleh Mohd Azrol Haji Awang Aji dengan catatan masa 17 minit 21 saat dan Nurfarah Aqilah Mohd Abidin pula berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 22 minit 33 saat.

Pemenang dalam kategori separa maraton 21 kilometer, masing-masing menerima hadiah wang tunai $1,500 berserta pingat diikuti tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai $1,250 berserta pingat dan tempat ketiga membawa pulang $1,000 berserta pingat.

Sementara bagi kategori terbuka lelaki dan perempuan 10 kilometer pula, tempat pertama membawa pulang wang tunai berjumlah $1,000 dan pingat, pemenang tempat kedua pula menerima $750 dan pingat manakala tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $500 dan pingat.

Bagi kategori terbuka lelaki dan perempuan lima kilometer pula, pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $500, $375 dan $250 berserta pingat.

Larian ini merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat khususnya warga bandar yang terdiri dari pelbagai peringkat yang mana komitmen semua masyarakat adalah perlu bagi memeriahkan dan meningkatkan imej bandar sebagai bandar yang unik, permai dan makmur.

Selain itu, ia sebagai satu aktiviti berupa kegiatan fizikal yang secara langsung menggalakkan masyarakat Brunei mengamalkan cara hidup sihat melalui kegiatan sukan dan riadah secara berterusan.

--Courtesy of Media Permata
blog comments powered by Disqus