Bandar Seri Begawan, 7 Dis - Jabatan Buruh telah membatalkan dan menyenaraihitamkan sebanyak lima buah syarikat yang dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen surat tawaran projek kerajaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan di sini, perkara tersebut dikesan semasa majikan membuat permohonan Lesen Pengambilan Pekerja Asing di Jabatan Buruh yang mana majikan menyertakan bersama salinan dokumen tawaran projek kerajaan yang didapati palsu.
"Salinan-salinan dokumen tawaran projek berkenaan telah pun disahkan palsu oleh Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan melalui hasil siasatan dan perkongsian maklumat antara Jabatan Buruh dan Jabatan Kerja Raya. Semua syarikat yang terlibat adalah dalam kegiatan pembinaan.
"Sebagai tindakan susulan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan menyerahkan kes pemalsuan dokumen itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Brunei untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu lagi.
Dalam hal ini, Jabatan Buruh mengingatkan orang ramai bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kes pemalsuan seperti ini dan jika sekiranya berlaku, akan menghadapkan perkara tersebut ke Pasukan Polis Diraja Brunei untuk siasatan dan juga ke Jabatan Peguam Negara bagi pendakwaan seterusnya.
Jabatan Buruh juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil atau menggaji pekerja asing tanpa kebenaran bertulis daripada Jabatan Buruh kerana pengambilan pekerja asing tanpa lesen Buruh merupakan satu kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 Bab 112 (1).
Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Bab 112 (2) dan didenda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang daripada 6 bulan dan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
--Courtesy of Media Permata.gif)


