Bandar Seri Begawan, 18 Dis - Harapan meluangkan cuti bersama keluarga di daerah negara jiran, Miri bertukar menjadi peristiwa mengejutkan apabila sebuah keluarga mendapati kereta pacuan empat roda mereka hilang di kawasan letak kereta sebuah hotel baru di Miri.
Pemilik kenderaan yang menghubungi Media Permata mengenai kejadian itu, melahirkan perasaan kecewa atas tindakan lambat daripada pihak hotel berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, kejadian berlaku pada 16 Disember 2012 pada pukul 10.32 malam setelah lebih sejam beliau memindahkan kenderaan dari tingkat lima ke kawasan letak kereta di tingkat bawah tanah.
"Kami memilih untuk memindahkan kereta ke tingkat bawah tanah setelah disarankan oleh pihak keselamatan hotel itu. Kami juga meminta kepastian daripada penyambut tetamu dan bahagian pertanyaan hotel mengenai tahap keselamatan tempat letak kereta itu," katanya.
Pihak hotel juga mengesahkan kawasan tempat letak kereta tingkat bawah tanah adalah selamat dan meminta nombor pendaftaran kereta mangsa.
Pada keesokan harinya, pada pukul 8 pagi, mangsa yang hendak menyimpan barang ke dalam kereta, terkejut mendapati kereta mereka hilang dan memaklumkan kepada isteri yang berada di ruang lobi hotel.
Mereka juga melaporkan perkara itu kepada pihak hotel dengan harapan mereka dapat melihat kejadian tersebut melalui CCTV, namun pihak hotel lambat bertindak balas sehinggakan mangsa mahu membuat laporan polis namun pihak hotel memintanya bersabar.
Pada pukul 11.04 pagi, barulah mereka dibawa ke balai polis Miri untuk membuat laporan. Mangsa juga membuat laporan polis di Balai Polis Sengkurong, Brunei.
--Courtesy of Media Permata