BruneiDirect.Com

.

Majlis Perkahwinan Di Brunei Bulan Depan

Kuala Lumpur - Majlis sambutan perkahwinan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dengan bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim (gambar), dijangka berlangsung di Bandar Seri Begawan, bulan depan.

Majlis itu yang dikatakan akan diadakan sama ada di Istana Nurul Imam atau Nurul Izzah, dijadual berlangsung pada pertengahan atau akhir September ini, iaitu sebelum Ramadan.

Sumber-sumber memberitahu Berita Harian, persiapan awal sudah mula diatur dan pengumuman mengenai majlis berkenaan serta penggelaran kerabat diraja baru itu dijangka dikeluarkan pihak istana Brunei, awal bulan depan.

Mengikut tradisi, isteri kedua Sultan Brunei biasanya diberi gelaran Pengiran Isteri. Isteri pertama Sultan Hassanal Bolkiah bergelar Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Azrinaz, 26, dan Sultan Brunei, 58, diijabkabulkan pada malam Sabtu lalu di sebuah istana kerabat diraja Brunei di Jalan Ampang di sini, dalam satu majlis tertutup dan hanya dihadiri keluarga, sanak saudara dan sahabat terdekat kedua-dua pihak.

Sumber itu berkata, Sultan Brunei dan isterinya itu dijadual kembali ke Brunei dalam minggu ini.

Azrinaz atau lebih mesra dipanggil Naz adalah lulusan Diploma Penyiaran dan bertugas di stesen televisyen swasta itu sejak 1999 sebelum meletakkan jawatannya sebagai Eksekutif Wartawan Penyiaran pada Mei lalu atas alasan ‘untuk menjalankan perniagaan sendiri.’

Sumber lain pula berkata, pihak yang rapat dengan istana di Brunei mengatakan tidak ada tanda majlis besar akan diadakan.

“Jika benar majlis besar-besaran dibuat, ia sepatutnya sudah bermula. Mungkin majlis resepsi untuk perkahwinan itu dibuat secara kecil atau tertutup.

“Biasanya untuk sambutan perkahwinan di istana Brunei, pihak di sana akan mengundang beberapa tukang masak dan petugas bahagian hidangan dari Kuala Lumpur. Setakat ini, kami belum mendapat maklumat apa-apa atau diarahkan membuat persediaan itu,” katanya. -- Courtesy of Berita Harian

Click Here To Have Your Say On This Story

Brudirect.com News

 
HH01520A.gif (1047 bytes)
Back to News Page
 
 
PE03327A.gif (2805 bytes)
Write to Us

 

 

Copyright © 1999-2005
Brudirect.com
All rights reserved.
Revised: August 25, 2005.